Pengalaman mengikuti Program Operasi Khidmat Masyarakat ( OPKIM)
ASSALAMUALAIKUM W.B.T
Hari ini saya nak kongsi pengalaman saya mengikuti Program Operasi Khidmat Masyarakat ( OPKIM ) di Sabah. Program ini sebenarnya dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa/Mahasiswi Sabah Ukm ( Permis). Opkim berlangsung selama seminggu bermula 25 Januari 2019 hingga 1 Februari 2019. Saya telah mengambil bahagian dalam menguruskan program ini. Saya menyandang jawatan sebagai ahli jawatankuasa Jamuan. Walaupun saya cuma ajk biasa tetapi ia cukup memberi pengalaman kepada saya untuk menguruskan sesuatu program. Okey saya ceritakan perjalanan program ini serba sedikit.
Program ini bermula pada 25 Januari 2019 dengan ketibaan para peserta Semenanjung yang mengikuti program ini. Aktiviti yang dilakukan pada waktu ini hanya penerangan mengenai perjalanan pada keesokkan harinya dan aktiviti bebas. Kami menginap di salah satu kediaman milik Universiti Malaysia Sabah ( UMS). Pada keesokkan harinya, kami diarahkan untuk bangun awal dan bersiap sedia sebelum jam 7 pagi. Tetapi saya sebagai ajk jamuan bersiap lebih awal kerana ingin menguruskan jamuan untuk para peserta dan ajk. Waktu ini agak tertekan juga lah sebab terpaksa bangun awal. Tepat jam 7 pagi, kami bergerak ke Kampung Sipitang untuk menjalankan program operasi khidmat masyarakat. Perjalanan ke Sipitang mengambil masa selama 3 jam dari Kota Kinabalu. Rasa teruja juga nak ke Sipitang sebab saya tidak pernah pergi ke daerah tersebut. Okey, sesampai sahaja kami di Kampung Sipitang, kami bersiap sedia untuk acara perasmian program tersebut dan acara pengambilan anak angkat. Jadi, semua peserta dan ajk akan diagihkan kepada keluarga angkat masing-masing. Sepanjang berada di Sipitang, pelbagai aktiviti yang telah kami lakukan seperti sukaneka bersama keluarga angkat, program di salah satu sekolah di daerah tersebut, pengurusan jenazah dan banyak lagi. Semasa saya berada di kampung ini, saya dapat merasai keunikkan yang terdapat di sini. Saya berkesempatan untuk melakukan aktiviti memanah. Nak tau tak ... Aktiviti memanah ni merupakan aktiviti yang giat dijalankan oleh ajk-ajk masjid kampung tersebut. Ajk-ajk masjid dekat sini memang aktif.
Bukan itu sahaja kawan-kawan .. saya juga dapat merasai keenakkan Sate Sipitang. Memang kalau nak pergi Sipitang, orang akan tercari-cari sate. Jadi, kalau kawan-kawan berkesempatan untuk melawat Sipitang... jangan lupa cuba sate dekat sana. Hahahaha promote sikit. Apa lagi ?... okey, nak tau tak saya juga berpeluang pergi ke Sarawak bersama keluarga angkat semasa berada di sana. Tapi bukan kawasan bandar.. hanya luar bandar sahaja. Tapi itu sudah cukup bagi saya sebab tidak pernah pergi Sarawak kan. Nak ke Sarawak dari Sipitang ni tidak lah jauh betul... hanya mengambil masa 30 minit untuk sampai ke Sarawak. Sangat-sangat best lah semasa berada di sana. Sepanjang di sana, memang kami semua cukup makan. Pada hari terakhir dekat sana, memang suasana tu sedih sangat. Kebanyakan keluarga angkat semua mengeluarkan air mata. Peserta dan ajk-ajk lain semua mengeluarkan air mata... Ye lah, nak berpisah kan tu lah sedih. Banyak kenangan yang telah dicipta bersama mereka. Saya pun tahan saja lah supaya tidak menangis tapi dalam hati tu memang sedih sangat. Habis sahaja penutupan, kami pun bergerak balik ke Kota Kinabalu.
Pada 31 Januari 2019, aktiviti yang diadakan adalah lawatan ke pulau-pulau yang terdapat di Kota Kinabalu. Aktiviti ini paling dinantikan oleh semua terutamanya peserta dari Semenanjung. Saya pun teruja untuk pergi ke pulau kerana sepanjang saya berada di Sabah, saya tidak pernah jejak kaki lagi ke pulau. Memang pengalaman pergi ke pulau itu memang menyeronokkan. Pulau-pulau yang kami lawati adalah Pulau Sapi, Pulau Manukan dan Pulau Mamutik. Ketiga-tiga pulau ni memang cantik lah. Antara ketiga-tiga pulau ni, Pulau Sapi merupakan pulau yang paling ramai dikunjungi oleh pelancong. Banyak juga aktiviti yang terdapat di pulau-pulau ni. Antaranya, Snorkeling, Coral Flyer Zipline, Scuba Diving dan banyak lagi lah. Selepas dari pulau, kami bergegas menuju ke Pasar Pilipin untuk memberi kesempatan kepada peserta Semenanjung membeli-belah hasil kraftangan atau makanan Sabah. Sesiapa yang berniat ke Sabah, jangan lupa datang ke Pasar Pilipin. Pada waktu malam, kami semua makan malam di salah satu restoran SEAFOOD di kawasan Pasar Pilipin tersebut.
Pada 1 Februari 2019, hari ini merupakan hari terakhir program kami berlangsung. Hari terakhir ini, kami membawa peserta Semenanjung bersiar-siar di Kundasang dan Ranau. Kami membawa mereka ke Desa Dairy Farm yang terletak di Kundasang. Apa yang menarik dekat Desa Dairy Farm? Tarikan dia adalah lembu-lembu. Aiskrim dan susu lembu dia sangat sedap. Pemandangan di kawasan ini memang cantik kerana anda boleh melihat Gunung Kinabalu dengan lebih dekat lagi. Selain itu, kami juga membawa peserta-peserta tersebut melawat Arnab Village dan Sungai Tagal. Akhir sekali, destinasi terakhir kami di Sabah Tea Garden. Setelah itu, kami pun pulang ke tempat penginapan dan bersiap sedia untuk pulang ke rumah masing-masing. Itulah serba sedikit pengalaman saya mengikuti program OPKIM di Sabah. Saya berasa sangat bersyukur dapat melibatkan diri dalam program ini. Saya dapat menimba pengalaman baru bagaimana hendak mengurus sesuatu tugasan. Saya juga mendapat kawan-kawan baru dari Sabah dan Semenanjung. Paling penting saya berkesempatan melawat tempat-tempat yang tidak pernah saya pergi seperti pulau. Okey, itu sahaja perkongsian saya untuk hari ini. Terima Kasih
Comments
Post a Comment